Friday, March 26, 2010

FIKIR LAH

apa kamu fikir diam mereka itu kerana mereka bisu
jawabku
diam mereka itu kerana mulut mereka
dipenuhi suapan rasuah

apa kamu fikir kaku kaki mereka kerana cacat anggota mereka
jawabku
mereka ditambat ikat dengan rantai emas mewah

apa kamu kira otak mereka kurang kewarasannya kerana mereka gila
jawabku
kotor jiwa kerana sumpah maki hamun fitnah

apa kamu fikir kotor pakaian mereka kerana miskin kedana
jawabku
busuk hati mereka mengotori jasad mereka

apa kamu fikir mereka tiada endah katamu kerana mereka pekak
jawabku
ego
tamak
haloba
rakus
menyumbat rongga telinga mereka

apa kamu fikir senyum mereka itu kerana peduli nasibmu
jawabku
senyuman itu hanya pada apa yang ada padamu
minyakmu
balakmu

Monday, March 22, 2010

Mencari Khalik

aku diam
menghuni belukar kesesatan
langkah lemah
amat sulit
rentas perjalananan salikku

kitab pedoman kuselak helaiannya
mencari panduan
teropong syuhud di tangan

senja merah menyentuh ubun-ubun usia
kelam dosa menghalang
pancaran nur
pandangan basirah kabur

ku gagahi salikku
nasyid puji-pujian membasahi lidahku
irama tasbih bertingkah tahmid berselang takbir
dalam merdu irama tangis keninsafan

perjalanan salik keteruskan
titisan embun maghfirah aku dambakan
dalam pencarianku
menuju makam para kekasih Mu
istana keimanan
singgahsana istirehat Anbiya` Mu

aku dalam salik
mencari khalik